PENGENALAN

Salam sejahtera,

Kami di sini (Poliklinik Penawar Pontian) ingin menyampaikan serba sedikit maklumat mengenai penyakit sama ada yang sedang berlaku ataupun tidak sebagai pengetahuan kepada anda semua. Terdapat juga maklumat sama yang boleh anda perolehi di laman web lain.

Kami ingin membantu anda dengan memberi maklumat mengenai penyakit yang mungkin anda hidapi melalui blog kami. Namun begitu adalah baik sekiranya anda berjumpa dengan doktor supaya beliau dapat merawat anda dan megenalpasti lebih lanjut penyakit yang anda hidapi.

Selain itu, blog ini juga adalah blog maklumat dan pemberitahuan serba sedikit mengenai aktiviti klinik dari masa ke semasa.

Apa yang kami ingin sampaikan adalah supaya anda semua mendapat maklumat mengenai Poliklinik Penawar Pontian serta menyedari tahap kesihatan anda.
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

"Bersabarlah dalam menghidapi penyakit. Sesungguhnya penyakit itu penghapus dosa."

Dari kami, semoga anda semua dijauhkan daripada penyakit yang merbahaya dan semoga anda semua berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya.

PERKHIDMATAN KLINIK






KES 1

“Klinik mana yang ada buat pemeriksaan kesihatan dan juga x-ray? Masa sudah suntuk, surat penjawatan di sebuah syarikat, baru je saya dapat semalam. Lusa saya akan mendaftar sebagai pekerja baru. Mana sempat buat pemeriksaan kesihatan di klinik kesihatan lain. Confirm ramai orang. Kena menunggu lagi, buang masa sahaja. Silap-silap kena booking masa nak medical check up. Macam mana ni.. Risaunya saya…”

KES 2

“Saya adalah majikan kepada warga Indonesia yang bekerja di sini (Johor). Semua pekerja saya memiliki pasport yang telah disahkan oleh immegresen Malaysia semasa mereka memasuki ke sini untuk bekerja. Sebagai majikan, saya bertanggungjawab ke atas mereka untuk membuat medical check up supaya mereka bukanlah antara yang membawa penyakit merbahaya ke negara ini. Oleh itu, saya perlukan FOMEMA untuk buat semua ini ke atas mereka. Klinik mana yang menjadi panel FOMEMA, sebab saya dapati tidak semua klinik menyediakan perkhidmatan ini.”

KES 3

“Saya seorang suri rumah. Saya telah disahkan mengandung anak pertama selepas membuat pemeriksaan doktor. Due date bayi nak lahir pun dah nak dekat. Jadi saya nak buat scan kandungan saya. Maklumlah, risau juga saya dengan kandungan pertama saya ini. Bila dengar cerita dari kawan-kawan ada yang mengalami bayi songsang dalam kandungan. Saya amat risau. Jadi klinik mana yang ada menyediakan kemudahan ultrasound, bolehlah saya datang bersama suami untuk membuat pemeriksaan.”

KES 4

Saya mempunyai dua orang anak lelaki yang berumur 10 dan 11 tahun. Saya bercadang pada masa cuti sekolah nanti hendak membawa mereka untuk berkhatan. Kalau boleh biarlah mereka berkhatan di klinik. Cepat sikit dan tidak perlulah saya menunggu giliran terlalu lama. Tetapi klinik mana yang ada perkhidmatan berkhatan ini? Boleh saya mendaftarkn nama anak-anak saya untuk berkhatan nanti.”

Adakah anda pernah mengalami situasi di atas? Semua perkhidmatan bagi keempat-empat kes di atas ada di Poliklinik Penawar Pontian. Bagi anda yang tinggal berdekatan dengan klinik kami, bolehlah datang untuk mendapatkan perkhidmatan dan kemudahan yang kami sediakan. Untuk makluman anda, berikut adalah perkhidmatan yang kami sediakan:-



  • X-ray - Dada dan anggota badan iaitu tangan dan kaki sahaja.
  • Berkhatan (Circumcision) untuk kanak-kanak dan dewasa lelaki.Buat masa ini tiada perkhidmatan berkhatan perempuan.
  • Electro-cardio-gram (ECG)
  • Pembedahan kecil seperti I&D , membuang ketumbuhan yang minor , rawatan untuk IGTN (Cagu) ,tindik telinga, menjahit luka-luka(TNS), dressing dsb.Klinik juga mempunyai mesin diathermy(Buzzer)
  • Rawatan Bronchial Asthma seperti nebuliser, suntikan hydrocort, suction dan oksigen.
  • Ultrasound untuk antenatal (Ibu mengandung)
  • Klinik Kesihatan Ibu Dan Anak termasuk rawatan antenatal, Merancang keluarga, Pap Smear, Imunisasi dsb.
  • Pemeriksaan Pekerja Asing (Foreign Worker) -FOMEMA
  • Rawatan kepada panel-panel yang melantik.
  • Pemeriksaan perubatan untuk pekerjaan, menyambung pembelajaran , perkahwinan dsb.
  • Pemeriksaan untuk JPJ, menunaikan Haji dan Umrah , Senjataapi dsb
  • Perkhidmatan house-call untuk radius kurang dari 10 km sahaja.
  • Rundingcara untuk rujukan rawatan ke Pakar-Pakar Perubatan
  • Rawatan 24 jam.

Tuesday, June 16, 2009

SAKIT JANTUNG




Jantung adalah salah satu organ yang penting dalam tubuh badan kita. Ia berfungsi sebagai alat untuk kita meneruskan hidup, dimana jantung akan mengepam darah supaya mengalir ke seluruh anggota badan hingga ke bahagian otak supaya semua anggota tubuh kita berfungsi dengan baik. Namun begitu, terdapat banyak penyakit yang boleh mengganggu fungsi jantung contohnya serangan jantung Iskemia,Penyakit jantung kongenital seperti VSD,TOF,PDA dan lain-lain yang menyebabkan jantung berlubang , penyakit jantung rheumatik, perikarditis dan bermacam-macam lagi.Salah satu yang biasa orang mengidap adalah penyakit jantung iskemia atau 'Heart Attack'.

Apakah serangan jantung atau sakit jantung?

Sakit jantung atau serangan jantung (Heart Attack) adalah disebabkan kurangnya aliran darah ke otot jantung melalui arteri koronari.Keadaan ini dipanggil sebagai Penyakit jantung Iskemia(Ischaemic heart disease -IHD).Jantung seperti tisu lain di dalam badan kita juga perlukan bekalan darah.Apabila bekalan darah ini tidak mencukupi maka terjadinya iskemia.Apabila keadaan ini berterusan bahagian tisu jantung ini akhirnya akan mati dan mengalami infak.Keadaan ini dipanggil 'Myocardial Infarct' iaitu selalunya disebabkan penyempitan pada salurdarah koronari yang berpunca dari biasanya atherosclerosis.Bahan yang menyempitkan ini dipanggil atheroma.Akibat penyempitan ini aliran darah menjadi lambat dan memungkinkan berlaku pembekuan darah atau trombosis.Ia memburukkan lagi keadaan. Ini bermakna fungsi jantung iaitu untuk mengepam darah menjadi lemah dan kurang cekap. Oleh yang demikian jantung gagal untuk berfungsi dengan baik.Ia menyebabkan pengumpulan cecair di paru-paru dan bahagian kaki (Basal Crepitation and Ankle Oedema ).

Faktor Risiko yang menyebabkan serangan jantung:

-Umur. lelaki lebih 40 tahun dan wanita lebih 50 tahun(Selepas menopause)
-Jantina.Lelaki lebih dari wanita.
-Diabetes Mellitus (Kencing Manis)
-Obesiti (Kegemukan)
-Kandungan kolestrol yang tinggi .Trigliserida dan LDL menyebabkan Hypertrigliseraemia.Paras TG melebihi 2.55 mmol/L dan Total Cholestrol melebihi 5.5mmol/L adalah bahaya untuk jantung.
-Kurang melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam
-Tidak mengamalkan pemakanan yang seimbang
-Merokok.Kandungan dadah nikotin dalam tembakau yang dibakar menyebabkan darah menjadi lebih likat dan boleh menyebabkan trombosis dengan mudah.
-Hipertensi (Darah Tinggi)




Antara simptom dan tanda serangan sakit jantung:

1.Sakit dada sebelah kiri yang menjalar di bahagian lengan sebelah kiri dan ke belakang.Selalunya sakit ini akan berlaku semasa melakukan aktiviti dan hilang apabila pesakit berehat.Contohnya apabila berlari dalam beberapa meter atau naik tangga beberapa anak tangga pesakit akan mengalami sakit yang tajam(Sharp pain).

2.Sesak nafas atau kurangnya daya toleran (Reduced effort tolerance).Ia berlaku juga semasa melakukan aktiviti seperti di atas.Kadang-kadang pesakit agak sukar bernafas semasa tidur dan perlukan lebih dari satu bantal untuk bernafas dengan selesa.Keadaan ini dipanggil Paroxismal nocturnal Dyspnea (PND).Ia disebabkan pengumpulan cecair di dalam paru-paru yang menyesakkan pernafasan.



3.Penat dan cepat letih (tidak bermaya).Pesakit juga mengalami berdebar-debar dan boleh tiba-tiba menjadi biru (Cyanosis) dan koma disebabkan oleh terlalu kurangnya bekalan darah ke otot jantung menjadikan tiada oksigen didapati dalam sel otot jantung.Inilah yang biasa kita jumpa pesakit mengalami serangan jantung akut (acute myocardial infarct - AMI )

Langkah pencegahan atau kawalan:

-Melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu selama 20-30 minit.
-Mengekalkan berat badan yang ideal iaitu BMI 19-25.
-Mengamalkan pemakanan yang seimbang berdasarkan piramid makanan.
-Melakukan pemeriksaan kesihatan (pemeriksaan tekanan darah, kandungan glukos dan paras kolestrol).
-Berhenti merokok.
-Bijak menguruskan tekanan.

Monday, June 8, 2009

STROKE

Seorang suri rumah, melakukan tugas harian beliau di rumah pada setiap pagi seperti mengemas rumah, menyediakan sarapan untuk anak-anak, membasuh pinggan mangkuk dan pakaian, memasak dan sebagainya. Terlalu banyak tugas yang perlu beliau lakukan yang sememangnya menjadi rutin sebagai seorang suri rumahtangga. Tetapi pada suatu hari, beliau merasa aneh pada dirinya sendiri ketika hendak memasak tengahari untuk anak-anaknya. Dia merasa badannya kurang selesa. Lalu beliau pun keluar rumah untuk menyedapkan hatinya itu. Namun begitu, tiba-tiba beliau merasa badannya berat sebelah. Lalu beliau pun pulang ke rumah semula supaya dapat berehat sebentar. Walau bagaimanapun, setibanya beliau di rumah, beliau menguatkan semangatnya untuk menyambung semula tugasnya untuk memasak tengahari kerana tidak lama lagi anak-anaknya akan pulang dari sekolah dan beliau perlu menyediakan santapan tengahari untuk mereka. Tiba-tiba semasa beliau memotong sayur-sayuran, beliau merasa pening lalu rebah di dapur. Beliau tidak boleh bergerak dan bercakap langsung untuk bangkit dan menjerit memanggil sesiapa sahaja yang berada berdekatan dengan rumah untuk mendapatkan pertolongan. Kebetulan anak lelakinya yang kelima baru pulang dari sekolah menengah yang tidak jauh dari rumah, ternampak beliau terbaring di dapur. Lalu anaknya menelefon bapanya yang sedang bekerja dan memberitahu perkara yang telah terjadi ke atas beliau.

Adakah perkara ini pernah terjadi ke atas anda? Atau perkara seumpama ini di dalam situasi yang berlainan berlaku ke atas anda atau ahli keluarga anda? Apa yang berlaku ke atas suri rumah tersebut adalah beliau disahkan menghidapi penyakit stroke atau angin ahmar yang berlaku secara tiba-tiba.

Stroke merupakan gangguan fungsi otak yang berlaku secara tiba-tiba. Ia berlaku apabila salur darah di otak tersumbat dan pecah. Kemudian keadaan ini menyebabkan pendarahan. Apabila keadaan ini berlaku, percakapan, penglihatan dan pergerakkan seseorang pesakit itu mula gagal untuk berfungsi.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan seseorang itu menghidapi stroke. Antaranya adalah golongan yang lebih berusia berisiko menghidapi stroke. Kebiasaannya mereka yang berumur 45 tahun ke atas lebih berisiko tinggi menghidapi stroke. Stroke boleh menyebabkan seseorang itu lumpuh separuh atau seluruh badan dan kadang-kadang boleh membawa kepada kematian. Faktor keturunan juga menyebabkan seseorang itu boleh menghidapi stroke. Kedua-dua faktor ini adalah disebabkan oleh amalan pemakanan seharian mereka yang tidak seimbang. Contohnya, pengambilan garam berlebihan, kandungan kolestrol yang tinggi, penggunaan gula yang banyak dalam makanan dan sebagainya.

Hipertensi atau darah tinggi merupakan punca utama seseorang menghidapi stroke. Peningkatan tekanan darah menyebabkan beban pada arteri dan salur darah juga meningkat. Keadaan ini menyebabkan arteri semakin keras dan sempit secara beransur-ansur dan menjadi lemah kemudian ia pecah. Keadaan inilah menyebabkan seseorang itu menghidapi stroke.

Begitu juga dengan mereka yang menghidapi penyakit kencing manis. Kandungan gula dalam badan yang banyak menyebabkan arteri mengeras dan sempit. Akhirnya ia akan lemah dan pecah. Proses ini dinamakan arterosklerosis. Keadaan stroke yang disebabkan oleh darah tinggi dan kencing manis adalah sejenis stroke hemoragik.

Jenis stroke iskemia pula adalah stroke yang disebabkan oleh salur darah yang tersekat. Salur darah akan tiba-tiba mengalir dengan perlahan dan menghentikan aliran darah ke otak. Keadaan ini biasa berlaku ke atas mereka yang mengalami sakit jantung.

Anda jangan fikir bahawa mereka yang mempunyai penyakit pakej ini (darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung) sahaja akan mengalami penyakit stroke. Mereka yang merupakan seorang perokok juga berisiko menghidapi penyakit stroke. Ini adalah kerana kandungan nikotin dan karbon monoksida di dalam asap tembakau boleh mengurangkan jumlah pengeluaran oksigen dalam badan. Bahan-bahan inilah yang merosakkan dinding salur darah menyebabkan terbentuknya gumpalan dan ini boleh menyekat aliran darah dalam badan untuk sampai ke otak.

Bagi mereka yang sememangnya telah menghidapi stroke, anda dinasihatkan supaya menjalani terapi di pusat kesihatan atau hospital supaya peredaran darah boleh dibaiki semula. Selain itu, terapi yang dijalankan adalah untuk mengelakkan komplikasi yang disebabkan oleh lumpuh atau lemah anggota badan. Menjalani terapi setiap masa memberikan anda peluang untuk pulih sepenuhnya bergantung pada tahap kesihatan anda.

Selain itu, ahli keluarga dan sanak saudara terdekat juga perlu mempunyai rasa tanggungjawab untuk membantu pesakit stroke. Ini boleh dilakukan dengan memberi rawatan sokongan seperti pemantauan keadaan pesakit, penjagaan kejururawatan, penjagaan makanan pesakit dan lain-lain. Bagi anda yang sihat pula, anda dinasihatkan supaya mengamalkan gaya hidup yang sihat dan mengamalkan pemakanan yang seimbang. Ini mengelakkan anda berisiko atau berpotensi mengalami penyakit darah tinggi, kencing manis, sakit jantung, kanser dan lain-lain penyakit yang merbahaya yang boleh mengakibatkan kematian. Anda juga dinasihatkan supaya mengekalkan berat badan yang ideal supaya anda kelihatan sihat dan tidak menghidapi penyakit seperti obesiti. Apa yang paling penting adalah anda perlulah bersenam supaya badan anda sihat. Melalui senaman, badan anda akan mengeluarkan peluh dan melancarkan lagi peredaran darah dalam badan supaya berfungsi dengan baik.

Fikirkanlah apa yang telah diterangkan di atas. Ingatlah orang yang tersayang dan juga mereka yang menyayangi diri anda. Paling penting sekali adalah anda harus menyayangi diri anda sendiri. Jika anda salah seorang pesakit stroke, bersabarlah dalam menghadapi ujian dari Tuhan. Tugas kita adalah sentiasa redha, berdoa, berusaha merawat penyakit dan tawakal kepada-Nya. Mudah-mudahan anda memiliki kesejahteraan hidup yang diinginkan.