PENGENALAN

Salam sejahtera,

Kami di sini (Poliklinik Penawar Pontian) ingin menyampaikan serba sedikit maklumat mengenai penyakit sama ada yang sedang berlaku ataupun tidak sebagai pengetahuan kepada anda semua. Terdapat juga maklumat sama yang boleh anda perolehi di laman web lain.

Kami ingin membantu anda dengan memberi maklumat mengenai penyakit yang mungkin anda hidapi melalui blog kami. Namun begitu adalah baik sekiranya anda berjumpa dengan doktor supaya beliau dapat merawat anda dan megenalpasti lebih lanjut penyakit yang anda hidapi.

Selain itu, blog ini juga adalah blog maklumat dan pemberitahuan serba sedikit mengenai aktiviti klinik dari masa ke semasa.

Apa yang kami ingin sampaikan adalah supaya anda semua mendapat maklumat mengenai Poliklinik Penawar Pontian serta menyedari tahap kesihatan anda.
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

"Bersabarlah dalam menghidapi penyakit. Sesungguhnya penyakit itu penghapus dosa."

Dari kami, semoga anda semua dijauhkan daripada penyakit yang merbahaya dan semoga anda semua berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya.

PERKHIDMATAN KLINIK






KES 1

“Klinik mana yang ada buat pemeriksaan kesihatan dan juga x-ray? Masa sudah suntuk, surat penjawatan di sebuah syarikat, baru je saya dapat semalam. Lusa saya akan mendaftar sebagai pekerja baru. Mana sempat buat pemeriksaan kesihatan di klinik kesihatan lain. Confirm ramai orang. Kena menunggu lagi, buang masa sahaja. Silap-silap kena booking masa nak medical check up. Macam mana ni.. Risaunya saya…”

KES 2

“Saya adalah majikan kepada warga Indonesia yang bekerja di sini (Johor). Semua pekerja saya memiliki pasport yang telah disahkan oleh immegresen Malaysia semasa mereka memasuki ke sini untuk bekerja. Sebagai majikan, saya bertanggungjawab ke atas mereka untuk membuat medical check up supaya mereka bukanlah antara yang membawa penyakit merbahaya ke negara ini. Oleh itu, saya perlukan FOMEMA untuk buat semua ini ke atas mereka. Klinik mana yang menjadi panel FOMEMA, sebab saya dapati tidak semua klinik menyediakan perkhidmatan ini.”

KES 3

“Saya seorang suri rumah. Saya telah disahkan mengandung anak pertama selepas membuat pemeriksaan doktor. Due date bayi nak lahir pun dah nak dekat. Jadi saya nak buat scan kandungan saya. Maklumlah, risau juga saya dengan kandungan pertama saya ini. Bila dengar cerita dari kawan-kawan ada yang mengalami bayi songsang dalam kandungan. Saya amat risau. Jadi klinik mana yang ada menyediakan kemudahan ultrasound, bolehlah saya datang bersama suami untuk membuat pemeriksaan.”

KES 4

Saya mempunyai dua orang anak lelaki yang berumur 10 dan 11 tahun. Saya bercadang pada masa cuti sekolah nanti hendak membawa mereka untuk berkhatan. Kalau boleh biarlah mereka berkhatan di klinik. Cepat sikit dan tidak perlulah saya menunggu giliran terlalu lama. Tetapi klinik mana yang ada perkhidmatan berkhatan ini? Boleh saya mendaftarkn nama anak-anak saya untuk berkhatan nanti.”

Adakah anda pernah mengalami situasi di atas? Semua perkhidmatan bagi keempat-empat kes di atas ada di Poliklinik Penawar Pontian. Bagi anda yang tinggal berdekatan dengan klinik kami, bolehlah datang untuk mendapatkan perkhidmatan dan kemudahan yang kami sediakan. Untuk makluman anda, berikut adalah perkhidmatan yang kami sediakan:-



  • X-ray - Dada dan anggota badan iaitu tangan dan kaki sahaja.
  • Berkhatan (Circumcision) untuk kanak-kanak dan dewasa lelaki.Buat masa ini tiada perkhidmatan berkhatan perempuan.
  • Electro-cardio-gram (ECG)
  • Pembedahan kecil seperti I&D , membuang ketumbuhan yang minor , rawatan untuk IGTN (Cagu) ,tindik telinga, menjahit luka-luka(TNS), dressing dsb.Klinik juga mempunyai mesin diathermy(Buzzer)
  • Rawatan Bronchial Asthma seperti nebuliser, suntikan hydrocort, suction dan oksigen.
  • Ultrasound untuk antenatal (Ibu mengandung)
  • Klinik Kesihatan Ibu Dan Anak termasuk rawatan antenatal, Merancang keluarga, Pap Smear, Imunisasi dsb.
  • Pemeriksaan Pekerja Asing (Foreign Worker) -FOMEMA
  • Rawatan kepada panel-panel yang melantik.
  • Pemeriksaan perubatan untuk pekerjaan, menyambung pembelajaran , perkahwinan dsb.
  • Pemeriksaan untuk JPJ, menunaikan Haji dan Umrah , Senjataapi dsb
  • Perkhidmatan house-call untuk radius kurang dari 10 km sahaja.
  • Rundingcara untuk rujukan rawatan ke Pakar-Pakar Perubatan
  • Rawatan 24 jam.

Friday, May 29, 2009

TEKANAN DARAH TINGGI

Tekanan darah tinggi adalah tekanan yang dikenakan ke atas pembuluh arteri semasa peredaran darah yang disebabkan oleh denyutan jantung.

Contoh: 140/90 mmHg

Penerangan bacaan: angka yang lebih tinggi (140) adalah tekanan ke atas pembuluh arteri akibat denyutan jantung (sistolik). Manakala angka yang lebih rendah pula (80) adalah tekanan ke atas pembuluh arteri semasa jantung berehat di antara pengepaman (diastolik).

Bagaimana darah tinggi boleh terjadi ke atas anda?

Ada beberapa faktor yang menyebabkan seseorang itu menghidapi darah tinggi. Antaranya ialah pemakanan seharian dalam hidup kita. Pengambilan garam berlebihan dalam makanan boleh menyebabkan seseorang itu menghidapi darah tinggi. Apabila pengambilan garam berlebihan dalam makanan, ia menyebabkan saluran jantung tersumbat menyebabkan tekanan darah tinggi untuk mengepam jantung. Kandungan garam yang berlebihan juga boleh didapati di dalam makanan segera.

Selain itu, faktor keturunan juga boleh menyebabkan seseorang itu menghadapi tekanan darah tinggi. Namun begitu, perkara ini tidak akan terjadi sekiranya sesebuah keluarga itu melakukan aktiviti yang sihat serta mengurangkan pengambilan garam dalam makanan dan mengamalkan pemakanan yang seimbang. Stress atau tekanan juga merupakan faktor tekanan darah tinggi. Seseorang yang berasa tertekan menyebabkan darahnya naik kerana kemarahannya. Namun begitu, jika anda pandai mengatasi masalah tekanan ini, mungkin anda tidak menghidapi masalah tekanan darah tinggi.

Tekanan darah tinggi bukan sahaja berlaku ke atas golongan tua. Malah ia juga boleh berlaku ke atas kanak-kanak dan remaja yang tidak mengamalkan kehidupan yang sihat serta pengambilan makanan yang seimbang.

Kadang-kadang seseorang itu tidak menyedari bahawa beliau menghidapi tekanan darah tinggi. Ini kerana, tekanan darah tinggi tidak menunjukkan sebarang tanda. Luaran nampak sihat, tetapi hakikatnya tidak. Oleh itu, untuk memastikan sama ada anda menghidapi tekanan darah tinggi ataupun tidak, anda dinasihatkan supaya berjumpa dengan doktor.

Adakah anda sering mengalami sakit kepala? Sakit kepala atau pening kepala adalah salah satu gejala tekanan darah tinggi. Nselain itu, seseorang yang menghidapi tekanan darah tinggi juga sering merasa gelisah dan sesak nafas. Jika perkara ini berlaku, anda dinasihatkan supaya segera bertemu dengan doktor unutk mendapatkan kepastian. Namun begitu, bagi mereka yang sering masak, jika anda tidak peka terhadap rasa masin dalam sesuatu makanan, mungkin anda juga berisiko menghidapi tekanan darah tinggi.

Risiko tekanan darah tinggi atau hipertension:
  1. stroke atau angin ahmar
  2. serangan jantung
  3. kegagalan jantung untuk berfungsi
  4. kerosakkan buah pinggang

Oleh itu, untuk mengelak atau mengawal keadaan ini berlaku ke atas diri anda, terdapat beberapa langkah boleh diikuti sebagai panduan. Ini boleh dilakukan dengan mengurangkan pengambilan garam dalam makanan, kalori dan lemak. Mengamalkan pemakanan yang seimbang amat penting supaya kita memperolehi sumber nutrien yang cukup serta sihat tubuh badan. Pengambilan buah-buahan boleh membantu anda mengatasi masalah tekanan darah tinggi. Selain itu, kita perlulah melakukan senaman atau aktiviti bersukan supaya dapat mengeluarkan peluh dan supaya badan kita sihat dan cergas. Perkara ini amat penting sekali supaya peredaran darah dalam badan boleh mengalir dengan baik. Anda disarankan supaya melakukan senaman sekurang-kurangnya 20 minit bagi setiap 3 hari seminggu.

Anda juga dinasihatkan supaya mengekalkan berat badan anda supaya tidak lebih dari BMI yang normal. Berat badan yang berlebihan menyukarkan anda melakukan aktiviti sukan dan ini boleh menyebabkan peredaran darah anda tidak mengalir dengan baik. Jika anda disahkan menghidapi tekanan darah tinggi pada peringkat awal, anda dinasihatkan supaya mengambil ubat yang disarankan oleh doktor. Sekurang-kurangnya penyakit anda tidak akan mencapai ke tahap yang lebih serius.

Oleh itu, anda haruslah bertindak mengikut garis panduan yang diberi supaya hidup anda dalam keadaan sihat. Kesedaran tentang segala penyakit kepada setiap insan amat penting dalam hidup.

Wednesday, May 27, 2009

MANA KAKIKU...?

Sakit jantung, kencing manis, darah tinggi merupakan penyakit yang biasa didatangkan dalam satu pakej. Namun begitu, tidak semua pesakit mengalami semua penyakit ini. Ada yang menghidapi darah tinggi sahaja, ada yang menghidapi kencing manis, ada juga yang menghidapi dua penyakit sekaligus dari mana-mana dalam pakej tersebut. Pelbagai kempen kesihatan telah dilakukan dan banyak maklumat telah disampaikan sama ada melalui media cetak atau elektronik. Namun begitu semakin ramai pula yang menghidapi penyakit ini semua. Dimana kesedaran masyarakat kita pada masa ini?

Topik pada kali ini adalah berkaitan tentang kencing manis atau diabetes. Cakap sahaja pasal kencing manis, ada yang membayangkan orang gemuk, ada juga yang membayangkan kaki dipotong. Sungguh dahsyat. Kalau di tanah haram, kaki dipotong disebabkan mencuri kali kedua atau keempat. Tetapi disini, kaki dipotong disebabkan penyakit kencing manis. Orang kata tak kena tak apa. Tapi dah kena merana badan.

Kencing manis adalah dimana darah mengandungi kandungan gula yang berlebihan. Ia adalah disebabkan kegagalan insulin dihasilkan oleh pancreas atau kekurangan insulin. Fungsi insulin adalah menceranakan glukos dan bertindak membenarkan glukos dalam darah menembusi dinding sel. Tanpa insulin, paras glukos dalam darah meningkat.

Bagaimana penyakit kencing manis ini boleh terjadi ke atas kita? Biasanya kencing manis ini terjadi ke atas mereka yang mempunyai berat badan yang berlebihan. Tidak kiralah sama ada kanak-kanak, orang dewasa atau golongan tua. Penyakit ini boleh berlaku ke atas setiap peringkat umur dan pelbagai lapisan masyarakat. Ini adalah berdasarkan cara pemakanan hidup mereka masing-masing. Jika mereka tidak mengamalkan pemakanan yang seimbang, mereka lebih berisiko mengalami penyakit ini. Pengambilan gula berlebihan dalam makanan atau minuman amat membahayakan diri kita juga. Oleh itu jumlah pengambilan gula yang sedikit sudah memadai untuk tenaga badan kita.

Selain itu, mereka yang tidak melakukan aktiviti yang aktif dan sihat seperti bersenam, melakukan aktiviti gotong-royong dirumah, bercucuk tanam dan sebagainya merupakan golongan yang juga berisiko menghidapi penyakit kencing manis. Ada fakta yang mengatakan juga bahawa mereka yang sering tidur juga boleh menghidapi diabetes. Ini terjadi kerana jumlah makanan yang anda makan itu mungkin mengandungi gula yang banyak. Tetapi anda tidak melakukan sesuatu aktiviti. Ini bermaksud anda tidak menggunakan tenaga anda untuk membuat sesuatu. Tenaga yang anda ada tersimpan sahaja. Inilah yang menyebabkan insulin gagal dihasilkan untuk menceranakan glukos dalam badan anda.

Faktor keturunan juga boleh menyebabkan seseorang itu menghidapi penyakit diabetes. Ini kerana, jika seseorang ibu itu menghidapi diabetes dan telah biasa melakukan tugasan di rumah seperti memasak atau membuat makanan, mereka akan menyediakan makanan mengikut apa yang mereka rasa sendiri. Sebagai contoh jika satu sudu gula untuk secawan teh pun mereka tidak rasa manisnya, mereka akan menambah lagi. Ahli keluarga pula terus sahaja minum. Apabila perkara ini berlaku setiap hari, lama-kelamaan rasa manis gula yang banyak pun mereka tidak rasa. Inilah yang menyebabkan seseorang itu menghidapi kencing manis disebabkan keturunan. Namun begitu, perkara ini boleh dielakkan jika ahli keluarga menyedari pentingnya menjaga kesihatan dan mengamalkan kehidupan yang sihat serta memakan makanan yang seimbang.

Adakah anda tahu sama ada anda penghidap kencing manis atau tidak? Ketahuilah tanda-tanda penyakit ini. Antara gejala penghidap diabetes adalah mereka sentiasa berasa dahaga, kerap membuang air kecil, didapati luka pada anggota badanlambat sembuh, merasa letih atau lesu, mengalamimasalah kegemukkan dan penglihatan kabur. Adakah salah satu symptom-simptom ini ada pada diri anda? Jika anda ingin memastikan sama ada anda menghidpi penyakit ini atau tidak, anda dinasihatkan supaya berjumpa dengan doktor.

Oleh itu kawalan bagi penyakit ini adalah anda seharusnya menjaga pemakanan anda. Amalkan makanan yang seimbang dngan mengurangkan lemak dan kalori supaya berat badan anda dapat dikawal. Selain itu, lakukan akiviti luar seperti beriadah, bersenam, membuat kerja-kerja di rumah dan sebagainya. Ini semua dapat membantu anda menghindari penyakit ini dan juga penyakit-penyakit lain. Corak hidup yang sihat menunjukkan tubuh badan yang sihat.

Cegahlah segala penyakit, amalkan cara hidup yang sihat.

Tuesday, May 26, 2009

Cuti sekolah kian tiba...

Bulan ini, cuaca agak panas, memang suri rumah tersenyum sahaja kerana jemuran yang disidai cepat kering. Namun begitu, semalam hujan mulai turun. Alhamdulillah, hujan rahmat....Basah juga tanah di sini. Tumbuh-tumbuhan dapat tumbuh dengan subur.
Sejak dua hari lepas, pesakit bolehlah dikatakan ramai yang datang ke sini untuk mendapatkan rawatan. Ada yang tua, yang muda, kanak-kanak dan pelajar sekolah untuk mendapatkan rawatan. Mudah-mudahan kesihatan mereka semua kini bertambah sihat hendaknya.
Bercakap tentang pelajar sekolah yang merupakan generasi yang bakal menjadi pemimpin negara pada masa akan datang, mereka perlulah menjaga kesihatan masing-masing. Ini kerana, mereka sedang 'berperang' untuk menghadapi ujian peperiksaan yang kini sedang berjalan.
Bagi sesetengah sekolah rendah pula, sudah seminggu peperiksaan penggal pertama ini berakhir. Masing-masing tidak sabar-sabar untuk mendapatkan keputusan peperiksaan dan ingin bercuti yang tidak lama lagi sahaja bermula.
Bermacam-macam rancangan telah dibuat sempena cuti sekolah akan datang ini. Ada yang ingin pergi melancong bersama-sama keluarga, menziarahi sanak saudara dan ada juga tidak merancang apa-apa. Macam mana tu? Hurm...
Namun begitu, ada juga para pelajar yang berumur 8-11 tahun ini bercadang untuk berkhatan semasa cuti sekolah ini. Bagus betul adik-adik kita ini. Mesti macam-macam perasaan mereka rasakan. Bercampur-baur...ada yang takut, suka, gementar dan lain-lain. Silap-silap ada yang cabut lari satu kampung sebab terlampau takut sangat.
Namun begitu, pada masa cuti sekolah inilah kebanyakkan ibu bapa mendaftarkan anak mereka untuk berkhatan. Bagi kami di disini, perkhidmatan berkhatan sememangnya telah kami sediakan dan di buka pada bila-bila masa pada siang hari dan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan perkhidmatan ini. Kepada anda yang ingin mendaftar sekarang, bolehlah menghubungi kami di talian 07-6876608 atau hadir sendiri ke Poliklinik Penawar Pontian untuk tempahan masa berkhatan anak anda.

Sunday, May 24, 2009

Leptospirosis

Penyakit leptospirosis bukanlah sejenis penyakit berjangkit tetapi adalah disebabkan oleh bakteria spirochete yang dibawa oleh haiwan seperti tikus dan tupai yang tercemar pada makanan.

Penyakit ini boleh sembuh jika dirawat dengan segera. Namun begitu, jika seseorang pesakit itu tidak dirawat dengan segera dan menghidapi penyakit tersebut dengan serius, mungkin boleh berlaku kematian.

Antara tanda-tanda penyakit Leptospirosis adalah:
  1. Anda mengalami demam pada awalnya diikuti dengan menggigil, sakit anggota tubuh dan sakit kepala.
  2. Mengalami batuk yang tidak berkahak.
  3. Merasa loya, muntah dan cirit-birit.
  4. Sakit di bahagian sendi, tulang, sakit tekak dan perut.

Anda yang merupakan golongan berikut adalah berisiko menghidapi penyakit ini:

  1. Jika anda bekerja atau bidang tugas yang terdedah kepada panas seperti petani, doktor haiwan, penternak/peladang, pekerja sistem pembentungan, pekerja rumah penyembelihan haiwan ternakan atau tentera.
  2. Anda yang melakukan aktiviti rekreasi dalam air seperti berenang, berkayak dan berbasikal di laluan denai di kawasan panas.
  3. Anda yang terdedah kepada binatang peliharaan di rumah seperti anjing, binatang ternakan untuk tujuan penyembelihan dan mengambil makanan yang telah digigit oleh binatang seperti tikus, tupai dan arnab.

Tuesday, May 19, 2009

INFLUENZA (H1N1)

Penyakit selsema khinzir kini kian menular. Apa langkah yang anda telah buat? Adakah anda mengetahui kesan penyakit ini?

Kesan psikologi:
-letih
-kurang selera makan
-sakit-sakit badan (lenguh)

Pada usus:
-cirit-birit

Gastrik:
-loya
-muntah

Hidung dan tekak:
-selsema
-sakit tekak

Masalah pernafasan
-batuk

Friday, May 15, 2009

PENYAKIT CHIKUNGUNYA

Penyakit chikungunya (chick’-en-GUN-yah) adalah satu penyakit yang disebabkan oleh sejenis virus alphavirus yang disebarkan melalui gigitan nyamuk dari spesis Aedes aegypti.

Simptom-simpton penyakit chikungunya:
1. Demam panas yang kuat sehingga mencecah 39Âșc
2. Ruam pada tangan,kaki dan badan
3. Sakit kepala
4. Mata merah
5. Loya dan muntah
6. Sakit sendi terutama di hujung jari, pergelangan tangan danbuku lali
7. Rasa ngilu pada tulang

Pencegahan:
1. Membasmi nyamuk pembawa virus iaitu nyamuk aedes.
2. Bersihkan kawasan air jernih yang bertakung (tempat pembiakan nyamuk) sama ada di dalam rumah atau luar rumah.
3. Elakkan dari gigitan nyamuk:
a. Memakai pakaian yang menutup anggota
b. Menyapu ‘repelant’
c. Tutup tingkap menjelang malam
d. Gunakan kelambu dan sebagainya semasa hendak tidur malam.

Monday, May 11, 2009

POLIKLINIK PENAWAR PONTIAN

Semoga anda berada dalam keadaan sihat.

Friday, May 8, 2009

KLINIK TETAP BEROPERASI

Pada hari ini merupakan HARI WESAK (09/05/2009). Poliklinik Penawar Pontian tetap beroperasi 24 jam pada hari ini.

Tuesday, May 5, 2009

Apakah selsema khinzir?

Anda semestinya amat bimbang apabila mengetahui tanda-tanda selsema yang mungkin boleh di kaitkan dengan selsema khinzir. Namun begitu, adakah anda tahu apakah itu selsema khinzir? Selsema khinzir adalah satu penyakit respiratori (sistem pernafasan) yang ditemui pada babi dan disebabkan oleh virus influenza jenis A (H1N1). Selsema ini boleh beredar disekeliling khinzir dan boleh menjangkiti manusia. Manusia boleh dijangkiti apabila terdedah secara langsung dengan khinzir. Namun begitu, manusia juga boleh dijangkiti selsema khinzir melalui manusia lain yang telah dijangkiti melalui udara, titisan rembesan hidung atau mulut. Oleh itu, anda dinasihatkan supaya berjaga-jaga dengan persekitaran anda. Sebagai pencegahan penyakit ini, anda perlulah menjaga kebersihan diri dan persekitaran di tempat anda.

Sunday, May 3, 2009

SELSEMA KHINZIR

Pada hari ini, selsema khinzir hangat diperkatakan. Banyak cerita yang dikeluarkan mengenainya di dada akhbar. Memang satu berita yang menggemparkan dunia. Selsema khinzir mula dikenalpasti di Mexico dan kini mula merebak ke negara lain. Ini suatu perkara yang amat membimbangkan kita semua. Kita haruslah menyedari dan mengetahui tanda-tanda selsema khinzir supaya kita tidak dijangkiti virus tersebut. Antara tanda-tandanya:
  1. Selsema
  2. Demam panas
  3. Batuk
  4. Kurang selera makan
  5. Letih
  6. Sakit tekak

Sekiranya anda baru sahaja pulang dari negara yang dijangkiti selsema khinzir dan mengalami simptom-simptom selsema, anda di nasihatkan supaya berjumpa dengan doktor untuk mengenalpasti kesihatan anda.

Mencegah lebih baik baik dari mengubati.

Friday, May 1, 2009

PUBLIC HOLIDAY

Hari ini 1hb Mei 2009 adalah hari Pekerja.Pada setiap hari Klinik akan dibuka termasuk pada hari kelepasan Am seperti Hari ini hatta pada Hari Raya pun biasa kita tetap akan beroperasi.